Salam pembaca blog!
Kita bersua lagi hari ini! Baiklah sebagaimana yang dijanjikan sebelum ini blog PemikirKaya dot com akan meneruskan khidmat untuk menyedarkan masyarakat akan penipuan dan pembohongan Skim Cepat Kaya!
Baiklah, ada ramai yang bertanya saya berkenaan persoalan ini…
“Bagaimanakah Untuk Mengesan Skim Cepat Kaya?”
“Saya Keliru dengan pelbagai tawaran berbentuk skim pelaburan, skim perkongsian modal, skim perniagaan dan ada juga yang mendakwa berdaftar dengan SSM dan memiliki lesen Akta Jualan Langsung (AJL) untuk menjalankan perniagaan berbentuk MLM dan Jualan Langsung..???”
Baiklah berikut panduan yang boleh anda gunakan untuk menilai sesuatu tawaran yang ditawarkan kepada anda, dan di antaranya kita panggilnya seperti berikut :-
Skim pengambilan deposit secara haram.
Ciri-cirinya adalah seperti berikut:-
Orang berkenaan (individu, syarikat atau organisasi) menerima, mengambil atau menyetujuterima deposit daripada orang awam tidak mempunyai lesen di bawah seksyen 6(4) Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989;
Orang tersebut berjanji untuk membayar semula deposit dengan atau tanpa faedah atau pulangan (faedah atau pulangan pelaburan dijanjikan untuk dibayar dalam suatu tempoh masa dan dalam bentuk wang atau nilaian wang, sebagainya); dan
Orang tersebut berjanji untuk membayar semula deposit pokok apabila pembayaran balik dituntut atau pada suatu masa atau mengikut hal keadaan yang dipersetujui oleh atau bagi pihak orang yang membuat bayaran itu dan orang yang menerimanya, dengan apa-apa balasan berupa wang atau nilaian wang (pembayaran pelaburan pokok adakalanya dimasukkan sekali dalam faedah atau pulangan tetap yang dijanjikan).
Aktiviti pengambilan deposit secara haram selalunya berselindung dengan pelbagai cara untuk menipu orang awam menjadi mangsa skim pelaburan haram, antaranya, melalui tawaran pemberian emas dan barang berharga yang lain sebagai sebahagian daripada pulangan yang dijanjikan. Selain itu, orang ramai juga disogok dengan dakwaan bahawa deposit itu diterima sebagai pinjaman kepada syarikat.
Aktiviti pengambilan deposit secara haram seringkali digambarkan mampu memberi kadar faedah atau pulangan yang tinggi atau tidak realistik dalam suatu masa yang singkat berbanding dengan institusi-institusi berlesen yang lain. Bagaimanapun, skim-skim seperti ini tidak boleh bertahan lama;
Jangka hayat skim-skim seperti ini bergantung kepada penyertaan pelabur baru di mana dana pelaburan yang diterima akan digunakan untuk pembayaran dividen kepada pelabur lama. Sekiranya syarikat pengendali gagal mendapatkan pelabur baru, skim ini akan gagal kerana ketiadaan sumbangan dana dari pelabur baru.
Pada permulaannya, pelabur-pelabur awal akan dibayar pulangan pelaburan seperti yang dijanjikan. Bagaimanapun, akhirnya pengendali akan melarikan diri dengan wang deposit yang dipungut apabila pengendali mendapati skim akan mengalami kegagalan yang akhirnya menjadikan pelabur rugi.
Skim urus niaga mata wang asing haram
Urus niaga mata wang asing dengan seseorang, selain daripada seorang yang diberi kuasa, yang tidak mendapat kebenaran oleh Pengawal Pertukaran Wang Asing di bawah AKPW sering:
Menawarkan kepada pelabur atau orang awam peluang untuk berurus niaga mata wang asing dengan syarikat induk (yang kononnya mempunyai lesen sah untuk berurus niaga mata wang asing di luar negara);
Memudahkan urus niaga mata wang asing dengan menyediakan akses kepada laman web syarikat induk dan kemudahan urus niaga melalui internet; Menggaji lepasan siswazah sebagai eksekutif pemasaran dan mempengaruhi mereka supaya membuat ahli keluarga mereka membuat pelaburan;
Mengarahkan pelabur-pelabur untuk mendeposit wang pelaburan sama ada ke dalam akaun bank syarikat induk atau akaun bank pihak ketiga; dan Mempengaruhi pelabur-pelabur untuk menambah jumlah pelaburan (”panggilan margin”) atau menghadapi risiko kehilangan pelaburan mereka .
Pengendali skim mata wang asing haram akan cuba menyakinkan bakal-bakal pelabur dengan strategi pasaran yang menjanjikan pulangan segera dan tinggi-
Melalui penampilan imej yang profesional dan bereputasi dengan barisan pekerja yang berpakaian segak, keadaan pejabat yang bercirikan teknologi tinggi dan kemudahan IT yang terkini yang memudahkan pelabur-pelabur untuk mengendalikan akaun-akaun mereka melalui internet;
Dengan peralatan urus niaga seperti suatu skrin berita yang menunjukkan pergerakan dalam kadar pertukaran untuk memberi gambaran bahawa sesuatu perniagaan yang profesional dan sah di sisi undang-undang sedang dijalankan;
Kebiasaannya, pelabur juga dikehendaki untuk menandatangani satu kontrak urus niaga dengan syarikat. Kontrak-kontrak ini sering tidak ditandatangani oleh syarikat. Ini bermakna tiada tindakan boleh diambil oleh pelabur terhadap syarikat kerana tiada kontrak formal yang mengikat.
Jadi saya sarankan kepada anda semua untuk menyelidik dan berhati-hati dan jadikan maklumat yang saya kongsikan ini sebagai rujukan buat anda agar wang titik peluh anda selamat jika tidak mungkin ianya hilang lebur begitu sahaja.
Salam kekayaan,

